hari asyura

Hari ini adalah hari asyura, tiada sebarang sambutan di sini, tetapi jika di Malaysia mesti akan diadakan berbagai2 sambutan terutama di surau2.

Dari Utusan Malaysia:

Puasa sunat Asyura hapus dosa setahun
Apabila membicarakan tentang Hari Asyura yang jatuh pada tanggal 10 Muharam setiap tahun maka kita tidak dapat menghindarkan diri memperkatakan tentang peristiwa pembunuhan Saidina Hussain iaitu cucu Rasulullah s.a.w. Beliau juga anak kepada Saidina Ali yang dibunuh dengan kejam di sebuah tempat yang bernama Karbala di Iraq.

Rentetan dari peristiwa Karbala ini timbul dua golongan yang menyambut hari Asyura secara ekstrem.
Golongan pertama terdiri daripada pengikut Syiah al-Rafidhah yang menjadikan tarikh 10 Muharam setiap tahun sebagai hari untuk berkabung dan menunjukkan kesedihan demi untuk memperingati kematian Saidina Hussain ini.

Ketika menyambut hari Asyura mereka memperlihatkan perbuatan-perbuatan umat jahiliah seperti memukul wajah serta tubuh badan mereka sehingga berdarah, menyiksa diri, berteriak serta menangis dan merobek-robek pakaian mereka.

Meratap
Ternyata perbuatan meratap serta menyiksa diri sendiri apabila ditimpa musibah dicela oleh syarak sebagaimana hadis-hadis di bawah.

Nabi s.a.w. bersabda: Bukan golongan kami orang yang memukul pipi, merobek pakaian dan berdoa dengan doa-doa jahiliah. (Riwayat Bukhari, no: 1294)

Rasulullah s.a.w. juga bersabda: Saya tidak bertanggungjawab kepada orang yang ditimpa musibah lalu menangis dengan suara yang keras [berteriak-teriak] atau menggondolkan rambutnya atau merobek bajunya. (Riwayat Muslim, no: 104).

Golongan Syiah ini juga memperhebatkan lagi celaan mereka kepada para sahabat nabi pada hari Asyura. Mereka juga membacakan syair-syair serta hikayat-hikayat palsu menceritakan tentang peristiwa Karbala. Masih terdapat banyak lagi perkara yang bertentangan dengan syarak dilakukan oleh kelompok Syiah ini pada hari Asyura.

Golongan kedua pula menyambut hari Asyura sebagai satu hari perayaan yang penuh dengan kebahagiaan. Kelompok ini terdiri daripada golongan ahli sunah yang jahil.

Mereka yang memusuhi Saidina Ali serta ahli keluarganya, penjilat kerajaan Bani Umaiyah serta mereka yang membenci golongan Syiah al-Rafidhah dan menterjemahkan kebencian mereka itu dengan melakukan sesuatu yang berlawanan dengan Syiah iaitu menunjukkan kegembiraan pada hari Asyura.

Mereka menyambut hari Asyura bagaikan suatu pesta, menghias bandar-bandar mereka dengan indah, memasak makanan tertentu lalu bersedekah kepada orang ramai. Menyediakan makanan yang lazat-lazat dan lain-lain lagi upacara yang mencerminkan ia suatu hari untuk bergembira seperti hari raya.

Perbuatan kelompok ini juga bertentangan dengan syarak apatah lagi jika dilakukan bersempena dengan hari terbunuhnya Saidina Hussain, cucu kepada Rasulullah s.a.w. yang merupakan pemimpin kepada para pemuda yang menghuni syurga.

Wajarkah suasana yang gembira dihubung-kaitkan dengan satu peristiwa hitam dalam sejarah umat Islam yang mengakibatkan syahidnya seorang yang memiliki keutamaan serta kedudukan yang tinggi bagi masyarakat Islam?

Apatah lagi tidak pernah ada contohnya daripada Rasulullah s.a.w. untuk menyambut hari Asyura seperti hari perayaan yang besar malah para sahabat.

Para salafussoleh serta imam- imam mazhab yang empat juga tidak pernah menganjurkan sambutan yang sedemikian rupa. Oleh itu sambutan sedemikian rupa merupakan suatu amalan bidaah yang sewajarnya di hindari oleh umat Islam.

Rasulullah s.a.w. bersabda: Aku wasiatkan kepada kalian agar bertakwa kepada Allah, mendengar nasihat dan mentaatinya. Sesungguhnya manusia itu berkelompok-kelompok, siapa yang akan hidup di antara kalian kelak akan melihat adanya banyak perbezaan pendapat. Maka hendaklah kalian berpegang teguh kepada sunahku dan sunah para Khulafa al-Rasyidin. Berpegang teguhlah kepadanya dan peganglah ia erat-erat. Jauhilah segala perkara yang baru kerana setiap perkara yang baru itu adalah bidaah dan setiap bidaah adalah sesat. (Riwayat Imam Abu Dawud, no: 3991).

Jika kedua-dua cara menyambut hari Asyura seperti di atas adalah suatu bentuk kesesatan dalam agama maka apakah yang sewajarnya dilakukan oleh umat Islam pada hari Asyura?

Hari Asyura dan amalan-amalan sunah berkaitan

Terdapat banyak kisah yang dihubung-kaitkan dengan hari Asyura. Namun sebenarnya ia tidak memiliki sandaran yang kukuh. Ternyata cerita yang sah berkaitan dengan hari Asyura hanyalah peristiwa Nabi Musa a.s diselamatkan dari tentera Firaun.

Ini kerana kesahihan kisah tersebut berlaku pada hari Asyura diperakui oleh Rasulullah s.a.w. sendiri sebagaimana yang terdapat di dalam Shahih al-Bukhari:

Nabi s.a.w. datang ke Madinah, dan dilihatnya orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Menurut mereka: Ini hari baik di saat mana Allah membebaskan Nabi Musa dari Firaun. Maka sabda Nabi s.a.w.: Kamu lebih berhak terhadap Musa daripada mereka maka berpuasalah. (Riwayat Bukhari no: 4680).

Oleh itu sewajarnya kita tidak menghubung kaitkan apa-apa peristiwa berkaitan hari Asyura melainkan terdapat dalil yang sah daripada hadis-hadis Nabi s.a.w. Melalui hadis di atas ini juga dapat kita fahami bahawa amal ibadah khusus sempena hari Asyura yang diiktiraf oleh Rasulullah s.a.w. adalah ibadah puasa. Ternyata berpuasa pada hari Asyura ini memiliki kelebihan atau fadilat yang begitu besar.

Ibnu Abbas r.a. pernah ditanya mengenai masalah berpuasa pada hari Asyura. Beliau menjawab: Aku tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w. berpuasa sehari pada hari Asyura untuk mencari kelebihan atau fadilat yang tidak ada pada hari-hari selain hari ini. (Riwayat Bukhari, no: 2006).

Berpuasa pada hari Asyura juga dapat menghapuskan dosa-dosa kita pada tahun sebelumnya. Ini sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.: Puasa tiga hari dari setiap bulan sejak dari Ramadan ke Ramadan berikutnya dianggap berpuasa setahun penuh. Sedangkan puasa hari Arafah pahalanya menurut Allah dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya dan setahun sesudahnya. Adapun puasa hari Asyura, pahalanya menurut Allah dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya. (Riwayat Muslim, no: 1163).

Allah juga mengurniakan taufik-Nya kepada mereka yang berpuasa pada hari Asyura. Dari Ibnu Umar r.a, dia berkata: Tidaklah seorang hamba berpuasa di dalamnya (hari Asyura) kecuali puasanya akan memberikan taufik kepadanya. (Riwayat Bukhari no: 1892).

Disunatkan juga untuk menambahkan puasa pada hari Asyura tersebut dengan berpuasa sehari sebelum ataupun sehari sesudahnya. Rasulullah s.a.w. memerintahkan hal ini bertujuan untuk menyelisihi amalan orang Yahudi.

Rasulullah s.a.w. bersabda: Berpuasalah kalian pada hari Asyura dan berselisihlah dengan orang Yahudi di dalamnya, dan berpuasalah sehari sebelumnya atau sehari sesudahnya. (Riwayat Imam Ahmad, no: 2047).

Rasulullah tidak pernah memerintahkan amalan ibadah lain untuk dikhususkan sempena hari Asyura melainkan ibadah berpuasa sebegini sahaja.

Oleh itu sebaik-baiknya kita berusaha untuk mengamalkan sunah Nabi s.a.w. ini.

* MOHD. YAAKUB MOHD. YUNUS ialah Penolong Naib Presiden di Bahagian Perbankan Perusahaan, Affin Bank Berhad. Untuk sebarang maklum balas berkaitan artikel ini sila hubungi beliau melalui e-mel akob73@ yahoo.com

p/s: terkenangkan mangsa2 keangkuhan yahudi di Palestin…

-nash-

Tagged:

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: